CYBERJAYA – Kerajaan yakin masih banyak dana milik negara ini yang tiris dan dicuri mampu dikembalikan semula, melebihi angka RM15.5 bilion yang dikutip dalam tempoh dua tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan itu berpaksi kepada komitmen dan integriti berterusan daripada anggota perkhidmatan awam.
Katanya, masih terdapat cabaran besar dalam melaksanakan penguatkuasaan dan ia memerlukan kerjasama semua agensi terlibat seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Suruhanjaya Pesaingan Malaysia.
“Kerana kerjasama dan kesungguhan ini, kita mencatatkan prestasi yang baik seperti diumumkan dengan hasil kumpul dana tambahan dari dana yang dirompak, dana yang mengalami pelbagai penipuan dan sebagaimana berjaya dikumpul dalam dua tahun dengan hasil tambahan RM15.5 bilion.
“Itu hak kita, hak rakyat yang dirompak kerana sistem kita masih belum kemas sehingga membolehkan ada kelompok yang mencari kesempatan dan menyebabkan ketirisan, sehingga kehilangan dana.
“Kalau tanya saya apakah ini mencukupi? Saya tidak yakin jumlah itu RM15.5 bilion maka kita terima cabaran ini. Kita sebagai keluarga termasuk Kastam terima cabaran ini bahawa kita mampu kutip dana yang hilang, tiris, dicuri dan mampu menyelamatkan bangsa dan negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 Tahun 2026 di sini.

Turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan warga JKDM agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya terus memperbaiki prestasi, meningkatkan kecekapan dan integriti sebagai teras penyampaian perkhidmatan.
Ujarnya, walaupun negara terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan menunjukkan petanda positif termasuk pengukuhan ringgit, pencapaian itu belum memadai bagi mengangkat martabat dan kedudukan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan perubahan sikap, kesediaan menerima hakikat baharu dan semangat untuk mempertingkatkan mutu kerja merupakan prasyarat penting dalam memastikan Malaysia terus maju dalam era ekonomi kompetitif. – MalaysiaGazette
















