Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal bercakap pada sidang media mengenai kontena membawa muatan sisa elektronik (e-waste) pada sıdang media di Westports, Pelabuhan Klang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 JANUARI 2026

PELABUHAN KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mematahkan sekali lagi cubaan membawa masuk dagangan daging babi beku tanpa permit dan kepatuhan sah, dianggarkan bernilai RM873,000, semalam.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, rampasan itu dilakukan di Pelabuhan Klang Barat sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan barang dagangan itu mencecah RM2 juta.

“Hasil pemeriksaan mendapati, dua kontena yang membawa dagangan daging babi beku yang ditahan berasal dari Belgium. Siasatan mendapati, tempat pemotongan daging tidak mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) walaupun pengistiharan dibuat dengan betul,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Barat di sini hari ini.

Pada 22 Januari lalu, AKPS telah merampas lebih RM1.15 juta cubaan membawa masuk dagangan daging babi beku menerusi pemeriksaan berasingan ke atas tiga kontena di Gudang CFS 4, Pelabuhan Klang Barat.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi penguatkuasaan itu membabitkan dagangan yang import dari negara Sepanyol dan Belgium dengan jumlah berat keseluruhan mencecah 76,973 kilogram (kg).

Katanya, walaupun dagangan berkenaan mempunyai permit, siasatan mendapati ia gagal mematuhi syarat permit import MAQIS, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast