PELABUHAN KLANG – Cubaan menyeludup masuk buangan terjadual (e-waste) menggunakan lima kontena sebagai barangan industri berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) semalam.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kira-kira 125 tan e-waste yang dihantar dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, Sepanyol dan Taiwan telah disita dalam pemeriksaan kontena di Gudang CFS 4, Pelabuhan Klang Barat.
Katanya, lima daripada 10 kontena dikesan membawa sisa pelbagi jenis buangan yang dilarang di bawa masuk negara menerusi operasi bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor serta Lembaga Pelabuhan Klang dan Wesport Malaysia.
“Dua kontena terbabit mengandungi buangan terjadual membabitkan barangan elektronik terpakai seperti mesin pencetak, desktop, pemprosesan (CPU) dan lain-lain peralatan komputer yang telah dihancurkan.
“Dua lagi kontena membawa buangan terjadual (SW422) iaitu kabel wayar yang telah dihancurka, manakala satu kontena lagi mengandungi sampah industri atau komersial.
“Jumlah berat dagangan ini adalah 125,037 kilogram (kg) dan kontena ini dari Amerika Syarikat; Sepanyol, Korea dan Taiwan,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Barat hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati dagangan itu dibawa masuk ke negara ini sekitar tahun 2024, 2025 dan terbaharu pada 24 Januari lalu dengan memalsukan pengikraran dagangan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Pemeriksaan juga mendapati, satu kontena tiada dalam rekod sistem maklumat Kastam yang mana ia dipercayai tidak diikrar untuk masuk ke dalam negara ini.
“Perbuatan ini adalah satu kesalahan serius iaitu pemalsuan pengikraran mengikut mengikut Seksyen 133 Akta Kastam 1967 dan terdapat beratus kontena dalam senarai,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan terhadap kontena lain bagi memastikan negara ini tidak menjadi tempat pembuangan sampah atau dumping barangan toksik seperti e-waste.
“Dalam masa sama, kita membangunkan risikan dengan meneliti senarai ejen yang berurusan di Pelabuhan Klang. Kita akan kaji semula mana-mana syarikat, siapa individu-individu, bagaimana mereka berdaftar serta prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan.
“Daripada situ, kita dapat mengenal pasti kelemahan dan menambah baik sistem sedia ada,” ujarnya.
Tegas beliau, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan kesemua kontena terlibat ditahan bagi tujuan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“AKPS menegaskan bahawa pihak kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan membawa masuk dagangan, khususnya produk haiwan, tanpa pematuhan kepada syarat perundangan, kerana ia boleh memberi risiko kepada keselamatan biosekuriti, kesihatan awam serta industri tempatan.
“AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















