KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendapat perintah Mahkamah Tinggi di sini untuk menyita harta alih milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bagi mendapatkan jumlah penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 sebagai kos yang belum dibayarnya.
Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Teresa selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.
Peguam, Datuk S.N. Nair yang mewakili Teresa (plaintif dalam ke saman terhadap Jamal) memberitahu pihak media, proses penyitaan itu dilakukan di kediaman Jamal di Ampang Jaya dekat sini hari ini dengan kehadiran bailif dan peguam wakil rakyat DAP itu.
“Tindakan penguatkuasaan yang dibenarkan mahkamah akan dijalankan hari ini menurut perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam saman sivil No. WA-23CY-15-04/2017.
“Penguatkuasaan itu timbul daripada penghakiman akhir Mahkamah Tinggi yang diperoleh Teresa terhadap Jamal (defendan).
“Pelaksanaan Writ Penyitaan dan Penjualan akan dijalankan oleh bailif mahkamah untuk mendapatkan semula jumlah penghakiman tertunggak sebanyak RM66,061.85 sebagai kos yang belum dibayarnya,” ujarnya dalam kenyataan.
Menurut Nair, bailif diberi kuasa untuk melakukan kemasukan paksa menggunakan kekerasan yang munasabah, mengikut undang-undang, sekiranya akses ke premis dinafikan.
Ujarnya, pelaksanaan akan dipantau oleh peguamcara plaintif, G. Maniggdan untuk memastikan pematuhan terhadap perintah mahkamah dan prosedur undang-undang yang betul.
Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa.
Nair memberitahu, Jamal telah menjelaskan bayaran RM300,000.
Pada 26 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi itu dan kos RM50,000.
Teresa memfailkan saman itu pada 6 April 2001 mendakwa Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah mengenainya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) semasa sidang media pada 8 Mac 2017.
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menegaskan, kenyataan fitnah itu disebarkan menerusi media cetak dan elektronik termasuk di laman Facebook Jamal.
Teresa menyatakan, kenyataan Jamal itu memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi dan merupakan seorang yang tidak beretika. – MalaysiaGazette
















