Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor akan menilai semula cadangan lokasi ladang ternakan babi moden bagi memastikan ia dibangunkan jauh daripada kawasan penempatan sekali gus mengurangkan risiko pencemaran dan gangguan kepada penduduk.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan penduduk setempat berhubung sisa ternakan yang masih mengalir ke laut walaupun kebanyakan ladang babi tradisional di Tanjung Sepat telah ditutup.

“Kita nak tutup kawasan penternakan babi tradisional yang mencemar. Kita cadang, kita dengar dan kita akan menilai balik kawasan yang sesuai yang jauh daripada kawasan penempatan untuk penternakan yang komprehensif dengan nilai sekitar 30 peratus bagi pasaran tempatan,” katanya ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Gombak itu, pendekatan tersebut selaras dengan amalan beberapa negeri lain seperti Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan yang menempatkan penternakan di kawasan terpencil dengan sistem pengurusan moden.

Beliau berkata, sebelum ini, kekangan pelaburan menjadi faktor utama kerana kos yang tinggi, selain pasaran tempatan yang terhad, menyebabkan tiada pelabur berminat.

“Memang kita nak tutup kawasan yang sudah tercemar dan alihkan ke lokasi lebih jauh serta tertutup dengan sistem tersendiri seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negeri lain,” jelasnya.

Amirudin turut menegaskan dakwaan kononnya projek itu bertujuan eksport atau penjualan ke luar kawasan adalah tidak benar.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar projek ladang ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar dibatalkan susulan bantahan penduduk pelbagai kaum serta mengambilkira nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Cadangan itu dibuat selepas kira-kira 400 penduduk dan wakil pertubuhan bukan kerajaan mengadakan bantahan terhadap projek ladang ternakan babi berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dicadangkan sebagai pemindahan dari Tanjung Sepat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast