Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff bersama Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah, Syed Aswadi Syed Soffian hadir pada Majlis Penutupan Program Pemantapan Pengurusan Media Zon Utara di Pejabat SPRM Negeri Kedah.

KUALA LUMPUR – Pegawai Perhubungan Komunikasi (PPK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zon Utara memainkan peranan penting dalam memperkukuh penyampaian mesej pencegahan rasuah khususnya kepada pihak media.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, peranan PPK amat signifikan dalam memastikan mesej pencegahan dapat disampaikan secara berkesan, tepat dan meluas melalui pelbagai saluran komunikasi.

“SPRM bukan hanya memfokuskan kepada aspek operasi dan siasatan semata-mata, malah turut aktif dalam usaha pendidikan masyarakat, komunikasi strategik serta penambahbaikan tatakelola organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Penutupan Program Pemantapan Pengurusan Media Zon Utara yang diadakan di Pejabat SPRM Negeri Kedah, Cawangan Anak Bukit, di Alor Setar, Kedah hari ini.

Tambah Hisyam, peningkatan kompetensi dalam penulisan laporan berita adalah penting bagi memastikan setiap aktiviti, inisiatif serta kejayaan SPRM dapat dilaporkan secara tepat, profesional dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

Program selama dua hari bermula semalam melibatkan penyertaan seramai 15 pegawai SPRM dari Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis, bertujuan meningkatkan keupayaan pegawai dalam pengurusan media serta penyampaian maklumat yang lebih efektif.

Pelaksanaan program tersebut adalah selaras dengan fokus serta amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menggesa SPRM lebih giat mengadakan kolaborasi berterusan bersama pelbagai pihak termasuk media.

Menerusi program itu, para peserta diberi pendedahan berkaitan teknik pengurusan media, pengendalian komunikasi strategik serta penulisan laporan dalam bentuk berita dan rencana mengikut piawaian penerbitan.

Pegawai-pegawai BKS turut berkongsi panduan berkaitan format, gaya penulisan laporan berita dan teknik fotografi bagi tujuan hebahan dalaman serta liputan media, agar maklumat yang disampaikan lebih tersusun, tepat dan mudah difahami.

Beliau turut menegaskan bahawa komunikasi strategik yang berkesan dan berimpak merupakan elemen penting dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap peranan SPRM dalam usaha membanteras rasuah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah, Syed Aswadi Syed Soffian berkata, pihaknya amat mengalu-alukan program perkongsian kepakaran serta pembelajaran seumpama itu bagi meningkatkan kemahiran pegawai Zon Utara, khususnya dalam aspek penulisan dan pengurusan media.

“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran komunikasi pegawai, malah membantu menyeragamkan gaya penulisan serta memastikan setiap hebahan mematuhi standard penerbitan yang ditetapkan,” jelasnya.

Beliau turut berharap agar kerjasama dan perkongsian ilmu antara SPRM negeri-negeri di Zon Utara dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan fungsi komunikasi strategik dan peranan advokasi SPRM di peringkat akar umbi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast