HULU SELANGOR – Polis menahan seorang penganggur selepas dipercayai memukul dan mencabul kanak-kanak bawah umur di sebuah rumah di sekitar Bukit Sentosa, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Ibrahim Husin berkata, ketika kejadian, suspek lelaki itu yang berusia 23 tahun menarik mangsa ke rumahnya dan kemudian bertindak memukul menggunakan kaki dan tangan.
“Polis Hulu Selangor terima panggilan kira-kira jam 8 malam, memaklumkan seorang mangsa kanak-kanak perempuan di bawah umur telah dipukul dan dicabul oleh seorang lelaki warga tempatan yang tidak dikenali.

“Kejadian ini berlaku, semasa mangsa bersama kakak dan abangnya melalui Jalan Bakawali, Bukit Sentosa ke pasar malam, tiba-tiba telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali telah menarik mangsa masuk ke dalam rumahnya.
“Kemudian individu tersebut telah bertindak memukul mangsa menggunakan kaki dan tangan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Ibrahim berkata, hasil saringan ujian kencing mendapati suspek didapati positif dadah dan semakan awal mendapati lelaki tersebut tiada rekod lampau.
Susulan kejadian itu, suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman terhadap suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu dan dibenarkan bermula 30 Januari hingga 2 Februari 2026.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
“Manakala hukuman bagi kesalahan kedua, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan,” katanya.
Katanya lagi, pihak polis memandang berat kejadian yang berlaku serta percaya dengan tertangkapnya suspek ini berjaya menyelesaikan kes yang berlaku di sini, sekali gus meningkatkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat terhadap polis. – MalaysiaGazette
















