KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin mendakwa ada beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Selangor menemuinya dan berhasrat meninggalkan parti itu dan menyertai DAP.
Muhammad Najmi yang memimpin cawangan DAP dengan keahlian Melayu paling ramai berkata, beliau menerima secara terbuka penyertaan pimpinan serta akar umbi Bersatu yang kini semakin jelas dan yakin dengan hala tuju DAP.
“Mereka beritahu, Bersatu berserabut pada masa ini, tak cukup dengan hubungan keruh bersama Pas dalam Perikatan Nasional (PN), kami akar umbi Bersatu turut terkesan dengan konflik antara Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” katanya menerusi hantaran Instagram hari ini.
Beliau berkata, keadaan dalaman Bersatu yang bercelaru menyebabkan akar umbi hilang arah dan keyakinan untuk terus bekerja demi parti.
Menurutnya, mereka mendakwa sukar mahu bekerja untuk parti kalau pimpinan atasan Bersatu sering berbalah sesama sendiri dan persoalan lebih besar ialah bagaimana Bersatu mahu memerintah negara jika masing-masing ada agenda peribadi dan bukan untuk negara.
Sebelum ini, Muhammad Najmi mencetuskan perhatian apabila menyatakan kesiapsiagaan DAP cawangan Wangsa Permai Kepong untuk menggempur UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan menggerakkan jentera dan ahli ke seluruh negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya bersedia menguruskan kemasukan besar-besaran pimpinan serta akar umbi Bersatu ke dalam DAP dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan kedudukan parti itu menjelang PRU-16 khususnya dalam usaha meraih sokongan undi Melayu.
“Kita tidak mampu lagi untuk membiarkan masyarakat Melayu diperkotak-katikkan di persada politik negara oleh secebis pemimpin yang rakus dan selalu memanipulasi bangsa sendiri untuk kepentingan politik mereka, bangkitlah bersama DAP,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















