Kredit: MCMC

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyalahgunaan peralatan telekomunikasi termasuk peralatan SIM Box dan kad SIM yang digunakan bagi tujuan jenayah dan aktiviti penipuan dalam talian.

Peralatan SIM Box serta penggunaan kad SIM secara pukal termasuk kad SIM asing sering disalahgunakan bagi penciptaan akaun palsu dalam talian secara besar-besaran.

SKMM dalam kenyataan hari ini menegaskan, penyalahgunaan itu termasuk memintas kawalan keselamatan platform digital serta memudahkan kegiatan seperti penipuan dalam talian dan jenayah dalam talian yang lain.

“Penyalahgunaan ini memberi ancaman kepada integriti rangkaian komunikasi negara serta keselamatan pengguna,” ujar kenyataan tersebut.

Dalam satu operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijalankan baru-baru ini di Kajang, sebanyak 50 peralatan SIM Box, 5,000 kad sim dan kelengkapan berkaitan telah dirampas bagi tujuan siasatan.

Operasi dan siasatan telah diterajui sepenuhnya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan siasatan oleh SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Kegiatan penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal termasuk kad SIM asing membolehkan penjenayah mencipta akaun palsu bagi menjalankan penipuan dan jenayah dalam talian, sekali gus membahayakan pengguna.

Menurut kenyataan lagi, bagi kesalahan di bawah seksyen 239 Akta 588, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Agensi itu menegaskan, penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM, untuk mencipta akaun palsu dalam talian merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara.

“Penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu memperketatkan kawalan pendaftaran kad SIM dalam menjamin keselamatan digital,” ujarnya.

MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM dan agensi penguatkuasaan lain bagi menjamin keselamatan negara, mencegah penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi serta memastikan pematuhan kepada undang- undang dan peraturan yang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast