KUALA LUMPUR – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mensasarkan sebanyak 32,000 saringan kanser serviks di seluruh Malaysia tahun ini sebagai usaha mempertingkatkan kesedaran dan pencegahan awal penyakit berbahaya tersebut.
Untuk itu, Ketua Pengarah LPKNN Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, pihaknya akan melantik duta komuniti khususnya di kawasan luar bandar bagi menyampaikan maklumat yang lebih tepat dan mudah difahami mengikut sentimen masyarakat setempat mengenai kanser serviks.
Pelantikan itu termasuk sasaran 100 duta dalam kalangan orang asli di seluruh negara untuk digerakkan bersama duta komuniti lain.

Menurutnya, kajian mendapati hanya 40 peratus wanita di Malaysia tampil menjalani saringan kanser serviks, sekali gus mencerminkan masih wujud jurang besar dalam akses maklumat kesihatan awam khususnya melibatkan masyarakat luar bandar.
“Menyedari hakikat tersebut, LPPKN sebagai agensi yang dekat dengan masyarakat bertekad untuk meningkatkan lagi jumlah wanita yang menjalani saringan berkenaan.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperluas capaian maklumat kesihatan, malah memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata dalam penjagaan kesihatan,” katanya Ketika menyempurnakan majlis sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 peringkat negeri Terengganu, di Hulu Terengganu.
Jelas beliau, pendekatan ini dilihat penting kerana masih ramai yang belum bersedia sepenuhnya untuk menjalani saringan walaupun program ini telah dimulakan sejak 2019.
“Untuk pendekatan bagi tahun 2026 ini, kita memilih pendekatan untuk mendekati kawasan luar bandar dan etnik-etnik tertentu yang kita dapati masih sukar mendapat akses berkaitan dengan kanser serviks ini walaupun kita telah bermula program ujian saringan ini sejak 2019.
“Kita melantik duta-duta ini agar kumpulan sasar dapat menerima sesuatu hebahan maklumat itu dengan lebih mudah difahami mengikut dialek-dialek etnik mahupun lenggok bahasa daerah masing-masing,” jelas beliau.
Selain menyampaikan maklumat, sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks juga merupakan serampang dua mata untuk LPPKN dan duta-duta yang dilatih ini menjalankan proses-proses saringan dalam komuniti mereka. – MalaysiaGazette
















