ALOR SETAR – Suspek utama kes pembunuhan Zahrullail Basir yang ditemui dengan tiga kesan tikaman di sebuah rumah di Jalan Tanjung Bendahara di sini semalam, dipercayai anak kandung mangsa.
Suspek berusia 28 tahun itu ditahan di dalam sebuah bas ketika dalam perjalanan menuju Selangor oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, tangkapan terhadap suspek itu dilakukan kira-kira jam 8.34 malam ketika dia berada dalam sebuah bas persiaran di Kilometer 441.5 arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah.
“Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 9 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita juga menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar dan mereka boleh disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan serta dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan daripada anak lelaki seorang wanita berusia 52 tahun pada jam 8.45 pagi memaklumkan kejadian pembunuhan membabitkan ibunya di lokasi kejadian yang disyaki ditikam di bahagian badan serta di pukul di bahagian kepala.
Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar awal pagi sebelum salah seorang dari enam anak mangsa menemui ibunya tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
















