MELAKA – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di bahu jalan berhampiran sekolahnya di Krubong di sini pagi tadi.
Kejadian menimpa pelajar perempuan berusia 17 tahun itu berlaku kira-kira 7 pagi di Jalan One Krubong, kira-kira 500 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda Vario dari rumahnya di Taman Krubong Jaya.
“Setibanya di lokasi, motosikal ditunggangi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.
“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Melaka, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, lokasi kejadian adalah jalan dua hala, berselekoh, dengan garisan putih putus-putus, manakala cuaca ketika itu cerah.
“Tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian dan kenderaan mangsa akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Alor Gajah untuk pemeriksaan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya. – MalaysiaGazette
















