PUTRAJAYA – Usaha Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) untuk membanteras isu ‘counter setting’ atau pasport terbang masih belum menemui titik nokhtah.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan, ini kerana pihaknya masih menerima maklumat risikan dan aduan berhubung perkara itu, sehingga kini.
Katanya, pihak AKPS juga masih mengumpul bukti sebelum membawa individu-individu terlibat ke muka pengadilan.
“Percayalah bahawa saya dan pucuk pimpinan kementerian tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan keselamatan negara,” katanya ketika berucap di Majlis Amanat Bersama AKPS, hari ini.
Tambah Shuhaily, setakat ini 39 individu yang terlibat dengan counter setting telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mana sebilangannya telah didakwa manakala ada yang dikenakan tindakan tatatertib.
Selain itu, AKPS juga menurut beliau turut menumpukan kepada usaha membanteras sisa e-waste dan bahan terlarang daripada memasuki pintu masuk negara.
Katanya, terbaharu enam kontena yang mengandungi sisa e-waste dan bahan-bahan yang terlarang ditemukan di Pelabuhan Klang.
Menurut beliau, perkembangan itu membawa kepada permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya AKPS bekerjasama dengan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperhebatkan lagi operasi.
Beliau turut menegaskan, tidak akan berkompromi dengan pegawai penguatkuasa yang didapati memberi perlindungan dan mengambil imbuhan.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan keras mengarahkan sekiranya terkesan mana-mana pegawai penguatkuasa yang memberi perlindungan dan mengambil imbuhan rasuah dalam kegiatan penyeludupan ini, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira siapa beliau,” tegasnya.
Berhubung penempatan pegawai PDRM yang berpengalaman ke agensi itu, Shuhaily berpendapat, kepakaran pegawai-pegawai berkenaan terutamanya dalam bidang risikan diyakin mampu membantu AKPS membanteras jenayah sempadan.
“Kepakaran PDRM diperlukan untuk mematangkan AKPS dalam masa yang lebih singkat,” ujarnya.
Terdahulu, beliau memuji kejayaan pasukan yang diterajui Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan, Nik Ezanee Mohd Faizal membongkar kewujudan enam kontena mengandungi buangan terjadual (e-waste) dianggarkan seberat 158,167 kilogram di Pelabuhan Barat, baru-baru ini.
Menurut Shuhaily, kejayaan tersebut berjaya dicapai hasil kerjasama baik semua kakitangan agensi itu.
“Bukan hanya sebab Nik, tapi kejayaan Nik dan orang-orangnya. Nik berjaya yakinkan kakitangan AKPS untuk sama-sama bekerja dengannya,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















