KUALA LUMPUR – Jenayah penipuan dalam talian kini mencapai tahap membimbangkan.
Ia telah merekodkan lonjakan mendadak sehingga 74,769 kes pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 110.8 peratus dengan jumlah kerugian mencecah lebih RM3 bilion sekali gus menjadikannya antara ancaman jenayah komersil paling serius di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Rusdi Md Isa berkata, jenayah penipuan dalam talian merupakan jenayah komersil paling pesat berkembang selari dengan kemajuan teknologi digital dan penggunaan media sosial yang semakin meluas.
Menurut beliau, modus operandi jenayah masa kini bukan sahaja semakin licik malah tersusun, terancang serta sangat meyakinkan sehingga mampu memperdaya mangsa dalam tempoh singkat.
“Di peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), jenayah ini diklasifikasikan kepada enam kategori utama iaitu penipuan dalam talian, penipuan pelaburan, penipuan pinjaman tidak wujud, penipuan e-kewangan dan love scam.
“Statistik menunjukkan jenayah ini menyumbang kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan jenayah komersil di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Awas Tipu Daya: Lindung Diri, Lindung Komuniti di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas di sini hari ini.
Rusdi menjelaskan, pada tahun 2023, sebanyak 34,495 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan kerugian berjumlah RM1.218 bilion sebelum meningkat kepada 35,430 kes pada 2024, iaitu peningkatan 2.83 peratus.
“Walaupun peningkatan kes pada 2024 dilihat sederhana, jumlah kerugian melonjak ketara kepada RM1.58 bilion, peningkatan sebanyak 3.1 peratus,” katanya.
Tambah beliau, statistik tahun lepas pula menunjukkan situasi yang jauh lebih serius apabila jumlah kes melonjak lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya dengan kerugian kewangan meningkat 89.5 peratus.
“Angka-angka ini jelas menterjemahkan bahawa jenayah penipuan dalam talian bukan sahaja semakin kerap berlaku, malah memberi kesan besar terhadap kesejahteraan kewangan dan emosi masyarakat,” katanya.
Rusdi turut memaklumkan jenayah scam tidak menyasarkan golongan tertentu sebaliknya sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa tanpa mengira usia, latar belakang atau tahap pendidikan.
Berdasarkan rekod, seramai 2,342 pelajar menjadi mangsa penipuan dalam talian pada tahun 2023, meningkat kepada 2,401 pelajar pada 2024, sebelum melonjak ketara kepada 5,293 pelajar pada 2025.
“Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan kehilangan wang simpanan, tekanan emosi serta impak negatif terhadap masa depan generasi muda negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, langkah pencegahan perlu bermula dengan kesedaran dan tindakan individu termasuk sentiasa berwaspada terhadap tawaran yang terlalu menarik dan tidak masuk akal.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat peribadi atau kewangan melalui panggilan telefon, mesej, e-mel atau media sosial yang mencurigakan serta memastikan setiap tawaran disemak terlebih dahulu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya. — MalaysiaGazette
















