KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong memulangkan paku buah keras kepada Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mencadangkan supaya universiti awam turut melakukan kajian berkenaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini, Kah Leong menyarankan Ahmad Fadhli terlebih dahulu menjalankan kajian berkenaan cara melantik pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu.
Ujarnya, kekosongan jawatan PN sudah berlarutan lebih sebulan lalu, namun sehingga kini iaitu menjelang Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, Pas masih belum menamakan pengganti.
“Padahal calon Perdana Menteri daripada Pas adalah sebanyak empat lori. Lantik Pengerusi PN, apa nak takut kan?” soalnya.
Terdahulu, Ahmad Fadhli mencadangkan kajian menyeluruh berkenaan UEC termasuk kedudukannya dalam Perlembagaan dan kesannya kepada dasar pendidikan kebangsaan dilaksanakan oleh ahli-ahli akademik berpengalaman.
Ahmad Fadhli merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sebelum ini kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan dilaksanakan oleh DAP sebaliknya dibuat oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sejak peletakan jawatan Pengerusi PN oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa 1 Januari lalu, Pas sehingga kini masih belum menamakan calon pengganti meskipun sebelum ini mendesak untuk mengetuai gabungan pakatan tersebut. – MalaysiaGazette
















