KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya melepasi sasaran pembinaan rumah mampu milik serta memulihkan lebih 1,000 projek perumahan terbengkalai sepanjang tahun lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kementerian itu menyediakan sebanyak 511,544 unit Rumah Mampu Milik (RMM), melepasi sasaran 500,000 unit di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Beliau berkata, pencapaian itu hasil pemantapan tadbir urus dan pemantauan berterusan bagi memastikan projek perumahan disiapkan mengikut jadual.
“Bagi program Rumah Mesra Rakyat, sebanyak 26,260 unit dibina, melebihi sasaran asal 15,000 unit, dengan peruntukan RM2.13 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Kor Ming turut memaklumkan, sebanyak 1,114 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan melalui Pasukan Petugas Projek Sakit (TFST), sekali gus menyelamatkan 138,510 unit kediaman bernilai RM85.45 bilion.
Dalam usaha memperkukuh kemudahan awam, KPKT membina 216 Taman Rekreasi Madani, menggantikan serta menyelenggara 204 lif di perumahan awam melalui program Lif Madani 2.0, selain membina 7,243 unit MyKiosk untuk peniaga kecil.
Katanya, Kementerian juga menaik taraf 11,397 tandas awam kepada standard BMW (Bersih, Menawan, Wangi) serta menutup 3,634 tapak pelupusan sampah haram di seluruh negara.
“Bagi memastikan projek MyKiosk dimanfaatkan sepenuhnya, sistem penilaian “lampu isyarat” diperkenalkan ke atas 156 pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan peruntukan tambahan diberikan kepada PBT yang menunjukkan prestasi baik,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata kesemua 34 projek PR1MA yang dikenal pasti sebagai projek sakit sejak 2023 kini berjaya disiapkan sepenuhnya, termasuk projek terakhir di Bukit Katil, Melaka yang memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bulan ini.
Dalam aspek pembiayaan, dedah Kor Ming, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM40 bilion telah membantu lebih 170,000 pembeli rumah, dengan sasaran 100,000 pengguna baharu pada tahun ini.
“KPKT akan terus memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan, pendigitalan serta pengurusan bandar yang lebih mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















