SHAH ALAM – Sindiket penipuan kerja sambilan tumpas selepas tertangkapnya lima individu termasuk empat lelaki dan seorang wanita warga asing dalam serbuan di sebuah kondominium di Bandar Puteri, Puchong pada 28 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua individu yang ditahan pihak polis itu berumur di antara 25 hingga 36 tahun.
“Serbuan dilakukan sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang kira-kira jam 2.20 petang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Shazeli juga berkata, dalam serbuan sama, pihaknya merampas lima komputer, dua komputer riba, sembilan telefon bimbit dan satu modem bernilai kira-kira RM20,000.
Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Disember 2025 dengan menyasarkan warganegara Pakistan sebagai mangsa.
“Kesemua tangkapan berperanan sebagai operator bagi mengiklankan kerja sambilan melalui aplikasi TikTok,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek direman selama lima hari bermula 29 Januari hingga 2 Februari lalu.
“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (bagi kesalahan menipu) dan Seksyen 120b Kanun Keseksaan (bagi kesalahan pakat jahat jenayah).
Katanya lagi, semakan rekod jenayah mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod dan bebas daripada ujian saringan air kencing.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terkesan mana-mana individu atau orang berkumpulan mencurigakan yang disyaki.
“Apatah lagi terdapat pihak yang menjalankan aktiviti penipuan call center di kawasan kediaman atau pusat perniagaan, agar tindakan pencegahan dapat dilakukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















