Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah bergambar bersama beberapa wakil persatuan penduduk selepas mengumumkan data terbuka kawasan hijau dan kawasan lapang di Kuala Lumpur terbuka kepada akses orang awam di Taman Kerinchi, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Senarai penuh kawasan hijau dan kawasan lapang yang diwartakan di sini diterbitkan secara dalam talian dan boleh diakses orang awam mulai hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, ia bagi memperkukuh ketelusan dan penyertaan awam: pelaksanaan Data Terbuka oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP).

“Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi yang sudah lama disuarakan masyarakat sivil dan gabungan persatuan penduduk yang dibangkitkan semasa sesi libat urus saya bersama mereka pada 20 dan 21 Januari lalu.

“Selama bertahun-tahun, komuniti di Kuala Lumpur telah menuntut akses maklumat yang lebih jelas berkaitan kawasan hijau dan kawasan lapang.

“Ia bagi memastikan warga Kuala Lumpur dapat menikmati, memelihara dan melindungi ruang berharga ini secara aktif,” katanya pada sidang media di Taman Rimba Bukit Kerinchi, di sini hari ini.

Hannah juga berkata, sebanyak 494 tapak kawasan hijau dan kawasan lapang yang telah diwartakan telah diterbitkan secara dalam talian dan tersedia di laman sesawang PPTGWP.

Orang awam boleh merujuk dan mengakses maklumat melalui ikon MyHijau di laman web rasmi https://www.ptgwp.gov.my/portal.

Ditanya tentang jumlah kawasan hijau dan kawasan lapang yang belum diwartakan, Hannah menjelaskan, setakat ini sebanyak 256 kawasan yang belum digazetkan.

“Pewartaan kawasan hijau dan kawasan lapang penting bagi mengelakkan ia terdedah kepada pelupusan hak milik dan penukaran guna untuk tujuan lain,” katanya.

Bagi mempercepatkan usaha ini, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah menubuhkan Pasukan Petugas Khusus Pewartaan Kawasan Lapang dan Hijau.

“Ia bertujuan untuk mengenal pasti jurang teknikal, memperkukuhkan penyelarasan antara agensi dan memastikan bahawa proses pewartaan bagi semua baki tapak disempurnakan,” katanya.

Tambah Hannah, kawasan hijau dan kawasan lapang sangat penting untuk menyokong kesejahteraan, membantu menghubungkan komuniti dan memainkan peranan kritikal dalam daya tahan iklim.

“Dalam bandar yang pesat membangun, kawasan hijau dan kawasan lapang amat penting. Ketika Kuala Lumpur bergerak ke arah menjadi bandar urus air hujan secara pintar, setiap ruang hijau amat bermakna,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast