Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bagi rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak. Foto MOHD ADZLAN, 05 FEBRUARI 2026. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Februari ini bagi keputusan sama ada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dibebas atau disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menetapkan keputusan pada Selasa depan selepas mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu dan peguam M. Athimulan yang mewakili Mohd. Isa, 77, selaku responden.

Pendakwaan merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dua tahun lalu yang melepas dan membebaskan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu daripada semua pertuduhan.

Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Februari ini bagi keputusan sama ada dibebas atau disabitkan dengan sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak ketika di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 FEBRUARI 2026.

Pada prosiding itu, Afzainizam berhujah, Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya ‘mengusik’ dapatan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukum Mohd. Isa  terhadap kesemua sembilan pertuduhan.

Hujah beliau, saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md. Arip yang juga bekas pegawai khas politiknya dalam keterangannya jelas menyatakan, Mohd. Isa mengarahkan beliau untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel.

Menurut pendakwaan, SP21 merupakan perantara yang menerima wang daripada Ikhwan (SP16) dan hanya ketiga-tiga mereka sahaja yang mengetahui berhubung wang rasuah tersebut.

Hujah Afzainizam, Mohd. Isa sendiri yang mengarahkan pegawai khas politiknya menghubungi SP16 untuik meminta suapan meskipun tiada saksi mata yang melihat penyerahan wang tersebut yang dilakukan sebanyak sembilan kali.

Pihak pendakwaan menyatakan, mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd. Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.

Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.

“Memang betul SP21 tidak mengira wang yang diletakkan dalam sampul kerana saksi berkenaan hanya berperanan menerima dan menyerahkannya kepada responden,” hujahnya.

Ketika ditanya Hakim Swee Seng mengapa SP16 dan SP21 tidak dituduh di mahkamah walhal mereka terlibat dalam permintaan dan pemberian wang rasuah, pendakwaan menghujahkan, perkara itu telah dicabar ketika peringkat perbicaraan.

Hujah Afzainizam, tiada keterangan yang menunjukkan kedua-duanya berkomplot untuk melepaskan diri.

Menjawab soalan Hakim Nordin, beliau menyatakan, Mahkamah Tinggi menerima keterangan SP21 yang menyatakan penyerahan wang rasuah dilakukan di pejabat dan tiada siapa yang menyaksikannya.

“Namun Mahkamah Rayuan tidak mempercayai langsung keterangan SP21 meskipun responden memberi upah RM10,000 dan RM20,000 kepadanya,” hujah beliau.

Sementara itu, Athimulan berhujah, Mahkamah Rayuan betul ketika membebaskan Mohd. Isa daripada kesemua pertuduhan.

Beliau bersama-sama peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat berhujah, Mahkamah Rayuan tidak melakukan kekhilafan yang mewajarkan Mahkamah Persekutuan untuk campur tangan dan mengubah keputusan tersebut.

“Rayuan pendakwaan tidak bermerit dan keputusan Mahkamah Rayuan wajar dikekalkan. Panel itu telah meneliti bahawa fakta berkaitan penerimaan wang, adalah tidak kukuh,” hujahnya.

Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang mendapati Mohd. Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dan penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman itu selepas membenarkan rayuan Mohd. Isa.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah berpuas hati, tiada bukti yang menunjukkan terdapat kod perkataan ‘salam’ antara Mohd. Isa dengan Muhammad Zahid yang mengaitkan responden dengan pertuduhan rasuah.

Pada 2018, Mohd. Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan melalui Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast