KUALA LUMPUR – Penang FC mengumumkan kehadiran pemain sayap Afghanistan, Omid Musawi secara pinjaman dari Selangor FC sehingga akhir musim ini.
Perpindahan pinjaman pemain berusia 25 tahun itu diumumkan pengurusan Harimau Kumbang di laman sosial kelab itu.
“Penang FC dengan bangga memperkenalkan pemain baharu, Omid Musawi yang menyertai pasukan secara pinjaman dari Selangor FC pada jendela perpindahan kedua dan akan bersama Harimau Kumbang sehingga akhir musim.
“Pemain ini akan menyarung jersi nombor 17 sepanjang tempoh bersama pasukan,” kata kelab itu.
Kehadiran Musawi dijangka memberi pilihan tambahan kepada jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail di bahagian serangan.
Bekas pemain remaja FC Twente itu menjadi pemain terbaru kelab itu selepas mengesahkan kehadiran pemain sayap Kuching City FC, Nur Shamie Iszuan Amin dan Douglas Coutinho secara pinjaman sebelum ini.
Pasukan utara tanah air itu turut merekrut Arif Shaqirin Suhaimi, Erick Brendon dan pemain pertahanan Filipina, Kamil Jaser Amirul.
Pada masa sama, Penang FC turut memaklumkan kelab itu telah mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan beberapa pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.
Untuk rekod, Limbikani Mzava dan Thiago Fernandez telah lebih awal dilepaskan oleh Penang F manakala pemain lain turut menyusul berdasarkan perancangan pasukan bagi fasa seterusnya.
Pemain-pemain yang terlibat ialah Thiago Fernandez, Limbikani Mzava, Wan Zack Haikal, Ariff Farhan, Lim In-Kyu dan Danilo Sipovac. – MalaysiaGazette

















