JOHOR BAHRU – Cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim agar Datuk Seri Rafizi Ramli menjadi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak manis dan masih terlalu awal.
Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ini kerana parti sudah pun mempunyai struktur dan institusi kepimpinan yang jelas ketika ini.
Alasan Ahli Parlimen Tebrau itu ialah Anwar dan Nurul Izzah dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden secara sah melalui proses demokrasi parti.
Justeru kata beliau, isu berkaitan kepimpinan masa hadapan tidak perlu dibangkitkan buat masa ini.
“Apabila tiba masanya kelak, biarlah akar umbi membuat pilihan dan pimpinan tertinggi pula akan melaksanakan amanah berdasarkan mandat tersebut.
“Prinsip utama perjuangan PKR sentiasa berpaksikan hormat kepada suara dan keputusan yang telah dibuat oleh akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua pihak tidak kira siapa wajar menghormati institusi kepimpinan sedia ada dan mengelakkan polemik yang boleh mengganggu kestabilan serta fokus gerak kerja parti.
“Walau bagaimanapun, saya setuju dengan pandangan bahawa Rafizi Ramli selaku ahli Parlimen wajar terus diberi ruang untuk menyuarakan pandangan mahupun kritikan khususnya berkaitan isu-isu yang melibatkan rakyat,” katanya.
Jelasnya, contoh kritikan Rafizi yang relevan seperti isu tunggakan bayaran balik cukai dan isu ekonomi adalah penting bagi memastikan dasar kerajaan sentiasa ditambah baik demi kepentingan rakyat.
Terdahulu Hassan mencadangkan bekas Timbalan Presiden PKR itu wajar terus diberi ruang untuk menyuarakan pandangan kritikal terhadap kerajaan.
Tidak sekadar itu, Hassan berpendapat Rafizi boleh diberikan peranan lebih besar tidak lama lagi apabila PKR mengadakan pemilihan parti.
Kata Hassan, seandainya PKR dan Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum akan datang, mereka wajar memberikan ruang lebih signifikan kepada bekas menteri ekonomi berkenaan
“Saya cadangkan kalau kita (PH) menang lagi, kita lantik dia (Anwar) jadi perdana menteri sepenggal lagi, tetapi dalam PKR, saya cadangkan Rafizi jadi sebagai presiden manakala Nurul Izzah (Anwar) kekal sebagai timbalan presiden.
“Dalam pemilihan parti akan datang biar Nurul Izzah pertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Rafizi jadi Presiden.- MalaysiaGazette















