BAYAN LEPAS – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pulau Pinang menafikan dakwaan hanya dua kaunter pemeriksaan dibuka sehingga menyebabkan kesesakan di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini.
Sebaliknya, Komander AKPS Pulau Pinang, Zuhair Jamaludin menegaskan, kesesakan luar biasa itu berpunca daripada peningkatan mendadak jumlah penerbangan sejak Januari lalu.
Jelas beliau, pertambahan penerbangan itu melibatkan tiga syarikat penerbangan utama iaitu Spring Airline, Shenzen Airline dan China Southern Airline.
Katanya, sebanyak 24 penerbangan direkodkan tiba antara jam 3 petang hingga 11 malam dengan jumlah keseluruhan penumpang seramai 2,988 orang.
“AKPS telah mengaktif kesemua 12 kaunter pemeriksaan ketibaan bermula jam 3 petang sehingga 10 malam namun, kesesakan di balai ketibaan belum dapat diatasi sepenuhnya.
“Kesesakan masih berlaku kerana jadual ketibaan penerbangan yang terlalu rapat selain kelewatan beberapa penerbangan lain yang tiba secara serentak.
“Selain itu, jumlah penumpang yang tiba terlalu ramai dan secara maksimumnya 12 kaunter sahaja yang boleh beroperasi dalam satu-satu masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, AKPS akan mengadakan perbincangan pihak MASB untuk menjarakkan jumlah penerbangan supaya proses pemeriksaan pasport dapat dilaksanakan dengan teratur di kaunter pemeriksaan ketibaan.
“Pada masa yang sama, semua kaunter akan dibuka untuk memastikan supaya proses pemeriksaan pasport dapat dilakukan dengan lebih cepat dan berkesan.
“Perluasan penggunaan eGate kepada 63 negara dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memberi kemudahan yang lebih efisien kepada pelawat asing di masa hadapan.
“Kita percaya langkah penyelarasan jadual penerbangan dan peluasan penggunaan eGate dijangka membantu melancarkan proses pemeriksaan pasport di LTAPP,” katanya. – MalaysiaGazette
















