Heidy Quah (tengah) bersama-sama peguamnya di Istana Kehakiman, Putrajaya selepas keputusan Mahkamah Persekutuan mengembalikan dua perkataan dalam Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia. 6 FEBRUARI 2026.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan memutuskan perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kekal berperlembagaan dan sah dikuatkuasakan di sisi undang-undang.

Kedua-dua perkataan tersebut dalam seksyen berkenaan, dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lalu selepas membenarkan rayuan aktivis, Heidy Quah, 31.

Hari ini, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusan yang menjadi nas undang-undang, secara sebulat suara berpuas hati perkataan-perkataan itu sah diguna pakai untuk pendakwaan jenayah.

Turut bersidang, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali serta Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Panel tersebut mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan kedua-dua perkataan itu selepas membenarkan sebahagian rayuan kerajaan.

Hakim Nallini ketika membacakan alasan penghakimannya berkata, perkataan ‘menyinggung’ dengan niat untuk ‘mengganggu’ dalam Seksyen 233(1)(a), tidak bertentangan dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, tujuan utama kedua-dua perkataan itu dimasukkan adalah untuk melindungi pengguna bagi menghalang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian komunikasi elektronik awam.

“Pada masa yang sama, kami mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa tiada asas untuk mendakwa Heidy Quah dengan hanya bersandarkan kepada alasan bahawa hantaran itu dilakukan dengan niat menyinggung.

“Kami ingin menjelaskan, pertuduhan tidak patut dikemukakan terhadap Heidy kerana kandungan dalam Facebooknya tertakluk di bawah definisi hak kebebasan bersuara dan tidak boleh menjadi asas kepada pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a),” ujarnya.

Hakim Nallini selanjutnya menjelaskan, hak bagi kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1)(a) bukan sesuatu yang mutlak kerana ia tidak boleh dilakukan jika komunikasi tersebut berbahaya sifatnya terhadap individu atau kumpulan tertentu.

Menurut beliau, contoh nyata ucapan yang tidak tertakluk kepada kebebasan bersuara adalah perkara berkaitan ucapan berbaur kebencian dan menyinggung sensitiviti agama.

“Perlu dijelaskan bahawa rasa tidak puas hati atau kemarahan yang timbul daripada luahan pandangan politik dan isu kontroversi, bukan bahaya seperti yang dimaksudkan dalam Perkara 10(1)(a),” ujarnya.

Hakim berkenaan seterusnya menegaskan, perkataan ‘menyinggung’ dan ‘mengganggu’ dalam Seksyen 233(1)(a) perlu difahami dalam konteks dunia digital lebih-lebih lagi dalam dunia media sosial.

Menurutnya, umum menyaksikan peningkatan dalam pelbagai bentuk gangguan dalam talian, doxxing, gurauan berniat jahat, penipuan dan kandungan yang bersifat perkauman atau menyerang sensitiviti agama dengan cara menghina.

“Seksyen 233(1)(a) bertujuan mengawal selia persekitaran dalam talian yang selamat dan melindungi individu dan masyarakat daripada mengalami kemudaratan akibat daripada penggunaan yang tidak wajar,” katanya.

Hakim Nallini turut berpendapat, teras penghakiman Mahkamah Persekutuan adalah meskipun hak kebebasan bersuara perlu dilindungi, ia terhad secara semulajadi dan terkawal, bukan komunikasi yang menimbulkan bahaya.

Ujar beliau, pendakwaan terhadap Heidy Quah tidak berasas kerana kandungan dalam Facebooknya hanyalah pandangan wanita tersebut berdasarkan fakta yang termasuk dalam hak kebebasan bersuara.

Menurut Hakim Nallini, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, isu agama dan kaum menjadi perhatian utama dan Seksyen 233(1)(a) memastikan komunikasi yang bersifat menyinggung sensitiviti kaum adalah dilarang.

“Contohnya, komunikasi dalam talian yang merendah dan memalukan kaum tertentu yang dihantar dengan niat untuk menyinggung mereka sehingga menimbullkan kegemparan dan menggugat ketenteraman awam.

“Tambahan pula sistem raja berperlembagaan di Malaysia menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan berkewajipan melindungi orang awam daripada gangguan terhadap pengunaan rangkaian komunikasi,” ujarnya.

Pada Julai 2021, Heidy didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat kenyataan menyinggung perasaan menerusi satu hantaran di Facebook dan pada 2022, beliau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas mahkamah mendapati pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) adalah cacat.

Pada prosiding hari ini, kerajaan diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin, peguam Benjamin John Dawson mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) manakala Heidy diwakili Datuk Malik Imtiaz Sarwar.

Selain itu, K. Shanmuga mewakili Majlis Peguam Malaysia manakala peguam Lim Wei Jiet mewakili Suara Rakyat Malaysia, Clooney Foundation for Justice serta Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (Ibahri). Keempat-empat organisasi itu hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast