KUALA LUMPUR – Polis merampas minuman keras serta rokok tidak bercukai bernilai RM1.22 juta selepas menahan dua lelaki warga asing dalam satu operasi khas di sekitar Subang Jaya, kelmarin.
Rampasan itu melibatkan sebanyak 17,972 botol dan 2,796 tin minuman keras pelbagai jenama serta 450 karton rokok dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,009,174.
Manakala, nilai kenderaan yang dirampas pula dianggarkan RM214,000.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1,223,174 dan dipercayai persediaan bagi memenuhi permintaan pasaran sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.
Menurutnya, serbuan dijalankan kira-kira pukul 6.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan arak seludup.
Menurut beliau, pemantauan mendapati, terdapat aktiviti pemunggahan kotak-kotak yang disyaki mengandungi minuman keras dari sebuah lori bonded ke dalam sebuah premis, sebelum polis bertindak melakukan serbuan segera.
“Dalam serbuan tersebut, polis berjaya menahan dua lelaki warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit membawa kepada penemuan pelbagai jenis minuman keras dan rokok tidak bercukai, selain dua buah lori bonded yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.
Siasatan awal mendapati, premis berkenaan telah digunakan sebagai stor simpanan sejak kira-kira lima bulan lalu dan bekalan arak tersebut diedarkan ke pasaran sekitar Subang Jaya.
“Polis turut mendapati suspek mencetak label palsu pihak kastam untuk dilekatkan pada botol arak bagi mengelirukan pembeli serta mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” kata Shazeli.
Tambah Shazeli, kejayaan tangkapan dan rampasan itu mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya JKDNKA Selangor dalam membanteras jenayah penyeludupan barangan tidak bercukai yang boleh menjejaskan hasil negara serta keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau turut menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras aktiviti jenayah yang merugikan negara. – Malaysiagazette
















