KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melantik Datin Paduka Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, berkuat kuasa 1 April 2026.
Beliau menggantikan Datuk Mohd Muazzam Mohamed, yang telah bersara awal pada Disember 2025 setelah lebih sedekad berjasa di Bank Islam.
Bank Islam berkata, pelantikan ini adalah hasil daripada proses pencarian yang rapi dan menyeluruh, selepas Lembaga Pengarah Bank telah menilai dengan teliti sekumpulan besar calon yang berkelayakan tinggi.
“Setelah pertimbangan mendalam, Lembaga Pengarah telah memutuskan Raja Teh Maimunah merupakan calon terbaik untuk memimpin Kumpulan ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Selain rekod pencapaian dalam kepimpinan strategik dan kecemerlangan operasi yang luas, beliau secara konsisten telah menunjukkan keserasian dengan nilai teras, termasuk pematuhan prinsip-prinsip Syariah yang menjadi asas kepada operasi dan tadbir urus Bank Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum menyertai Bank Islam, Raja Teh Maimunah, 58, adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AEON Bank (M) Bhd.
Beliau telah berjaya menerajui pelancaran bersejarah bank digital Islam pertama di Malaysia.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau merupakan perancang utama di sebalik infrastruktur natif awan teras bank tersebut, sekali gus meletakkan penanda aras baharu bagi inovasi digital patuh syariah.
Kerjaya beliau selama 30 tahun meliputi jawatan kanan di beberapa institusi kewangan terkemuka termasuk sebagai Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank dan CEO Hong Leong Islamic Bank.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pasaran Islam Global di Bursa Malaysia, juga merintis pelancaran Bursa Suq Al-Sila’, sebuah platform dagangan komoditi patuh Syariah pertama dunia.
Sebagai mengiktiraf kepimpinan dan sumbangan Raja Teh Maimunah terhadap industri, beliau telah diberi penghormatan sebagai Personaliti Kewangan Islam Terbaik pada 2016 dan Anugerah Ahli Perbankan Wanita Cemerlang ASEAN pada 2025.
Raja Teh Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (LLB) Undang-Undang (Kepujian) dan Doktor Kehormat Undang-Undang dari University of East London, juga merupakan Felo Pegawai Bank Bertauliah dan Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam. – MalaysiaGazette
















