Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Saman fitnah sivil berjumlah RM1.5 juta yang telah difailkan terhadap Tandiko Dalusin tetap diteruskan walaupun individu itu kini menyatakan sokongan terbuka kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan undang-undang ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pendirian politik semasa mana-mana pihak.

“Ia berpunca daripada dakwaan fitnah serius dilakukan secara berulang kali terhadap saya melalui platform media sosial. Ia termasuk menerusi YouTube, Facebook dan TikTok sehingga menjejaskan reputasi, kredibiliti serta nama baik saya,” dakwanya menerusi satu kenyataan semalam.

Menurut Zulkarnain, peguam beliau, Tetuan Boestamam Ahmad & Co telah mengemukakan dua Surat Tuntutan (LOD) sebelum tindakan saman difailkan.

“LOD pertama telah dihantar seawal Mei lalu diikuti LOD kedua pada Ogos 2025, kedua-duanya dikeluarkan oleh firma guaman berkenaan.

“Namun kedua-dua surat tuntutan tersebut telah dipulangkan semula ke pejabat guaman selepas cubaan penyerahan melalui surat berdaftar ke alamat terakhir individu terbabit di Seremban gagal sepenuhnya.

“Ia sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai keengganan pihak berkenaan memberikan kerjasama serta kegagalan bertanggungjawab terhadap dakwaan fitnah yang dihadapi,” katanya.

Zulkarnain berkata, sehingga kini, pihak peguam masih meneruskan usaha menjejaki Tandiko Dalusin.

“Saya berharap mana-mana pemimpin GRS yang menjemput beliau menyertai parti itu dapat membantu bagi tujuan penyerahan LOD demi memastikan proses perundangan dapat berjalan secara teratur dan adil,” katanya.

Zulkarnain menegaskan, GRS tidak seharusnya dilihat seperti sebuah ‘pasar raya politik’ di mana individu yang lantang memfitnah dan menyerang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, diberikan layanan istimewa.

“Malah diberikan ‘karpet merah’ untuk menyertai GRS selepas gabungan ini berjaya membentuk Kerajaan Negeri Sabah dengan prestasi yang cemerlang.

“Kegagalan membuat tapisan sewajarnya bukan sahaja berisiko mencetuskan liabiliti politik malah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap GRS.

“Malah ia merendahkan nilai perjuangan pemimpin dan penyokong yang setia mempertahankan gabungan ini ketika berdepan serangan sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan akan kekal fokus untuk menegakkan kebenaran dan mempertahankan maruah diri melalui saluran perundangan, tanpa sebarang kompromi politik.

“Semua pihak wajar menghormati proses undang-undang dan prinsip keadilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast