Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pelancaran Mydin Mega Balik Kampung di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 FEBRUARI 2026

SUBANG JAYA – Kerajaan melarang mana-mana pihak daripada mengerakkan sebarang usaha memboikot produk dan pasar raya tertentu hanya bersandarkan kepada akidah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana semua peniaga mempunyai hak yang sama rata untuk mendapat peluang perniagaan di negara ini.

“Saya tidak fikir ia perlu untuk kita melakukan usaha-usaha antagonis yang tidak baik. Satu ketika kita mendengar gelombang untuk membeli hanya barang-barang daripada kumpulan yang satu akidah sahaja.

“Sebagai kerajaan yang rasional, kita melarang perkara itu daripada dilakukan. Saya harap perkara itu tidak harus ditimbulkan.

“Kita mahu supaya peniaga-peniaga mendapat peluang sama rata dan jangan harus ada pemboikotan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin ketika melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Mydin Mega Balik Kampung di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 FEBRUARI 2026

Terdahulu Ahmad Zahid menyempurnakan Pelancaran Mega Raya di pasaraya Mydin.

Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mendakwa kononnya Mydin mendapat lebih manfaat daripada pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Bagaimanapun pengurusan Mydin membidas serangan itu sambil menyifatkannya sebagai sangkaan jahat, sedangkan beliau sering menegaskan bahawa kerajaan perlu membantu peniaga-peniaga kecil.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah melahirkan kekhuatirannya kemungkinan wujud gerakan memboikot produk hanya berasaskan agama.

“Saya khuatir akan ada usaha lain untuk memboikot produk-produk daripada orang yang mempunyai akidah yang berlainan.

“Perkara ini tidak baik untuk sesebuah negara untuk masyarakat majmuk dan pelbagai kaum dan pelbagai agama di negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast