MELAKA – Lapan pelajar kolej vokasional di negeri ini yang disyaki terlibat dalam kes membelasah seorang pelajar minggu lalu telah direman dan dikenakan tindakan penggantungan sementara.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, semua tindakan disiplin dan siasatan kes tersebut kini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Benar ada berlaku kes berkenaan yang didakwa berpunca daripada rasa tidak puas hati si pelaku dengan mangsa.
“Semua tindakan ketika ini adalah di bawah KPM kerana ia melibatkan kolej dan Jabatan Pendidikan Negeri hanya membimbing dari segi prosedur tindakan sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, kesemua lapan pelajar terbabit telah direman bagi membantu siasatan sebelum dikenakan tindakan penggantungan sementara oleh pihak pengurusan institusi.
“Mereka telah direman dan seterusnya digantung sementara untuk tempoh maksimum dua minggu.
“Tiada tindakan buang sekolah setakat ini, namun terdapat pelajar yang memohon pertukaran institusi dan perkara itu tertakluk kepada kelulusan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), KPM,” jelasnya.
Terdahulu, seorang pelajar kolej terbabit dipercayai menjadi mangsa serangan sekumpulan pelajar di kolej berkenaan.
Difahamkan, satu laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa dan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa serta pihak kementerian berkenaan. – MalaysiaGazette
















