NIBONG TEBAL – Operasi pemadaman api longgokan sisa pepejal setinggi enam meter di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung di sini, ditamatkan sepenuhnya awal pagi tadi selepas berlangsung lebih sembilan jam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kebakaran melibatkan kawasan anggaran seluas 100 x 100 kaki persegi di fasa tiga tapak pelupusan berkenaan.
“Kita terima panggila berhubung kejadian itu pada jam 8.13 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal tiba di lokasi pada jam 8.21 malam.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.13 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.29 malam dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan api padam sepenuhnya.
“Operasi ditamatkan pada jam 5.51 pagi tadi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi punca kebakaran atau risiko merebak di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, komander operasi melaksanakan konsep RECEO dengan anggota menjalankan kerja memunggar sisa pepejal menggunakan dua jengkaut bagi membolehkan pemadaman secara terus dilakukan, selain membina jalur pemutus api bagi menghalang api daripada merebak.
“Operasi pemadaman melibatkan anggota dari BBP Nibong Tebal dengan bantuan BBP Sungai Bakap, BBP Bayan Baru dan BBP Penanti serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Seramai 25 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette















