Andrea Galimberti muncul juara kategori Senior Kejuaraan IAME Asia Pasifik 2026 semalam.

KUALA LUMPUR – Pelumba Itali dari DRM Racing Team, Andrea Galimberti muncul juara kategori Senior Kejuaraan IAME Asia Pasifik 2026 selepas mempamerkan aksi taktikal dan penuh ketenangan dalam perlumbaan final yang berlangsung sengit di Litar Karting Antarabangsa LYL, semalam.

Galimberti memastikan kemenangan miliknya menerusi pecutan kemas pada pusingan akhir untuk menewaskan rakan sepasukan dari Malaysia, Zarif Raykal yang turut mewakili DRM Racing Team, sekali gus mengesahkan gelaran juara dan meraih tiket automatik ke Kejuaraan Dunia IAME Final (IWF) yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

Mengulas kejayaannya, Galimberti mengakui kemenangan dalam final hadir hasil perancangan strategi rapi meskipun berdepan saingan sengit sepanjang hujung minggu perlumbaan.

“Saya rasa cukup gembira selepas memenangi final kategori Senior. Kami sebenarnya tidak begitu laju, tetapi mempunyai kelajuan yang konsisten sepanjang hujung minggu. Cuma kami tidak berjaya mencatat kemenangan dalam perlumbaan saringan dan superheat. Namun, dalam perlumbaan final, kami akhirnya berjaya menang.

“Strategi saya hanyalah memastikan tayar sentiasa bersih dan tidak terlalu panas sepanjang perlumbaan supaya pada beberapa pusingan terakhir, saya mampu mengejar pendahulu dan seterusnya memenangi perlumbaan,” katanya selepas perlumbaan berakhir.

IWF dijadual berlangsung di Litar Leopard, Viterbo, Itali dari 19 hingga 24 Oktober 2026.

Sementara itu, Zarif terlepas peluang meraih tiket automatik ke IWF selepas tewas tipis kepada Galimberti, meskipun menampilkan prestasi kompetitif sepanjang perlumbaan.

Pelumba muda negara itu mengakui peluang untuk meraih kemenangan terbuka luas selepas memulakan perlumbaan dengan rentak yang baik, namun masalah cengkaman jentera pada pusingan akhir menjejaskan usahanya untuk mempertahankan kedudukan di hadapan.

“Dalam final, kami bermula laju dengan kelajuan yang baik, tetapi pada tiga pusingan terakhir cengkaman belakang hilang sepenuhnya.

“Lawan dapat mengejar dan saya tak mampu buat apa-apa untuk menahannya,” katanya.

Sementara itu, promoter perlumbaan, Daniel Ling mengakui bahawa kejuaraan ini mempunyai penanda aras tersendiri.

“Matlamat kami adalah untuk menganjurkan perlumbaan yang setaraf atau mampu menyaingi kejohanan di luar negara. Kami mahu orang datang ke Asia.

“Mengapa perlu berbelanja besar untuk berlumba di Eropah sedangkan standard tinggi boleh diwujudkan di sini?. Sepanjang bertahun-tahun, IAME bersama pasukan dan komuniti Asia telah berusaha meningkatkan tahap pemandu di rantau ini, dan kami kini melihat perkembangan yang positif,” katanya.

Kejuaraan itu menghimpunkan 106 pelumba dari 15 negara termasuk 22 wakil Malaysia, dengan empat kategori dipertandingkan iaitu Kadet, Junior, Senior dan Master, selain mendapat sokongan penuh Tourism Malaysia.

Perlumbaan berkenaan sebagai platform utama untuk menyatukan pelumba dari rantau ini dalam satu acara bertaraf antarabangsa sambil membuka peluang kepada pemenang untuk ke perlumbaan dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast