Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor sedang memindahkan seorang penumpang warga emas yang diserang angin ahmar di perairan Selangor, petang Ahad

PELABUHAN KLANG – Seorang penumpang dari kapal persiaran Ovation Of The Seas yang diserang angin ahmar diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, petang Ahad.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penumpang wanita itu, Tan Yok Ah, 84, diserang angin ahmar ketika dalam perjalanan dari Phuket ke Singapura

“Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Selangor menerima permohonan untuk bantuan pemindahan mangsa dari kapal untuk mendapat rawatan sekitar jam 3.53 petang.

“Pesakit dibawa menggunakan bot penggalang 10 dari posisi pertemuan di kedudukan 3.2 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, kira-kira 5.35 petang.

“Kemudian pesakit selamat tiba di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah kira-kira 6 petang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Seorang penumpang warga emas yang diserang angin ahmar dikejarkan ke Pusat Perubatan Bukit Tinggi, Klang, petang Ahad

Abdul Muhaimin juga berkata, pesakit kemudiannya dikejarkan ke Pusat Perubatan Bukit Tinggi, Klang dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Maritim Malaysia bersiap siaga dalam memberikan bantuan kecemasan dan kemanusiaan di perairan negara tanpa mengira masa dan keadaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999, katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast