Tangkap layar memaparkan seorang lelaki bertindak menendang warga emas yang melanggar keretanya di Pekan Suntex, Cheras semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga ditahan selepas didakwa mengugut dan memukul hingga cedera lelaki warga emas berhampiran lampu isyarat Pekan Suntex, Batu 9, Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, suspek berusia 52 tahun telah ditahan sekitar jam 11.30 malam hari sama dan direman dua hari bagi membantu siasatan.

Katanya, polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang juga pesara berusia 69 tahun sekitar jam 4.49 petang pada 8 Februari.

“Siasatan mendapati, kemalangan berpunca daripada nahas kecil melibatkan kenderaan pengadu dan juga suspek di lokasi kejadian.

“Akibat kejadian itu, mangsa mendakwa cedera dipukul dan diugut suspek di kawasan berhampiran lampu isyarat Pekan Suntex, Batu 9,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Masyarakat dinasihati supaya mematuhi undang-undang serta mengamalkan sikap bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian dan ketenteraman awam terus terpelihara.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan R.Ganesan di talian 0126089180 bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Kejadian itu, tular di media sosial memaparkan seorang lelaki menaiki MPV bertindak menendang sambil memarahi lelaki warga emas di dalam kenderaan mendakwa keretanya dilanggar lari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast