Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap pada sidang media di Menara 1 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBRUARi 2026.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran maklumat sulit berkait urusan kenaikan pangkat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya telah mengambil keterangan beberapa individu tertentu bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan berhubung perkara ini masih masih diteruskan dan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Pada 19 Januari lalu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan sudah membuat laporan polis susulan kebocoran maklumat kenaikan pangkat pegawai kanan ATM.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendedahan maklumat itu dibuat secara terbuka sebelum pelantikan jawatan pegawai-pegawai kanan tertinggi ATM termasuk Panglima Angkatan Tentera (PAT), memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Keputusan mengenai pelantikan jawatan tertinggi dalam ATM mesti dibincangkan terlebih dahulu oleh Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang akan memberi cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mohamed Khaled menegaskan, sebarang pelantikan hanya boleh dibuat selepas mendapat perkenan baginda dan pendedahan maklumat sebelum itu adalah tidak wajar.

Beliau menekankan pendedahan nama, jawatan dan pelantikan pegawai kanan ATM boleh menimbulkan risiko keselamatan malah, maklumat sedemikian tidak pernah didedahkan kerana sensitiviti perkara berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast