KUALA LUMPUR – Polis telah melengkapkan siasatan kes tembakan melibatkan tiga individu di Durian Tunggal, Melaka dan sedang menungu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya juga sedang mengusahakan segala keperluan tambahan seperti diminta AGC bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.
“Kita sebenarnya telah melengkapkan siasatan dan sedang menunggu laporan daripada agensi-agensi berkaitan. Jika ada perkembangan, kita akan maklum dari masa ke semasa,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Mengenai perkembangan kes rompakan di Alor Gajah yang didakwa mempunyai modus operandi hampir sama seperti kejadian di Durian Tunggal, beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti jika mempunyai kaitan.
“Jadi, isu-isu ni memang kita lihat berlaku di sana sini, polis berusaha untuk mengekang daripada berterusan, jadi siasatan kita buat secara berterusan.
“Kadang-kadang kita cuba mengaitkan antara satu kes dengan kes yang lain, jadi setakat ini kita masih lagi meneruskan siasatan,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan, siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka pada November tahun lalu berada di peringkat melengkapkan pembuktian teknikal.
Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa pihak polis sedang menunggu dua laporan penting iaitu berkaitan patologi dari Hospital Melaka dan analisis forensik membabitkan Jabatan Kimia.
Pada 16 Disember 2025, PDRM mengesahkan kertas siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal telah dirujuk dan dikemukakan kepada AGC.
Mohd Khalid dalam kenyataan dilaporkan berkata, hasil penelitian, AGC bersetuju dengan syor PDRM dan menuntut supaya siasatan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada November 2025 sekitar 4.30 pagi, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun dilaporkan ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Akibat serangan itu, anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an mengalami parah pada lengan kiri. – MalaysiaGazette
















