KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 kluster Kluster Tuberkulosis (tibi) dikenal pasti sehingga 7 Febuari lalu dan semuanya masih aktif, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.
Menurut beliau, Selangor mencatat kluster paling banyak iaitu empat dengan 10 kes.
Diikuti dengan Johor satu kluster dengan 37 kes.
“Kedah, Kelantan, dan Perlis masing-masing satu kluster (dua kes), Pahang satu kluster (empat kes) dan Sabah satu kluster (lima kes),” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional (PN) yang memintanya menyatakan status terkini kluster Tibi mengikut negeri serta jumlah kes aktif yang masih dipantau.
Mengulas lanjut Dzulkefli berkata, kluster di Kota Tinggi yang melibatkan kes indeks wanita guru Quran berusia 72 tahun baru-baru ini melibatkan 37 kes jangkitan selepasnya.
“Jumlah itu melibatkan 29 kanak-kanak dan lapan dewasa. Semua kes aktif dengan 903 kontak rapat,” tambahnya.
Beliau menyifatkan kes jangkitan yang berlaku di daerah tersebut merupakan amaran awal terhadap kemunculan semula penyakit berjangkit berkenaan.
Jelasnya, tibi boleh menyerang dalam senyap kepada sesiapa sahaja yang ada dalam kalangan penghidapnya dan tidak menunjukkan gejala nyata dan terkait dengan imuniti badan.
“Tibi ini penyakit senyap yang tidak menunjukkan gejala tapi (ada yang) positif. (Jadi) mustahak untuk kita lakukan hanya ujian saringan yang kita boleh dapat tahu tahu dalam empat jam seorang itu pernah terdedah virus Tibi (atau tidak).
“Apabila kita kaji mengapa tercetusnya kes indeks itu, adalah terkait dengan imuniti. Tibi sebenarnya boleh berada di mana-mana dan kita boleh terdedah dengannya di mana-mana.
“Mungkin bakteria tibi itu berada di badan kita tetapi ia senyap tetapi bila imuniti badan menurun, bakteria tibi itu menyerang badan,” katanya lagi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat (Pakatan Harapan) bertanya mengapa jangkitan tibi berlaku di Kota Tinggi yang bukan kawasan bandar dan tidak padat penduduk.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan berlaku wabak tibi di tiga lokaliti di daerah Kota Tinggi yang dikesan pada 25 Januari lalu. – MalaysiaGazette
















