KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk seorang pengarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) direman empat hari disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana awam berjumlah kira-kira RM500,000.
Perintah reman sehingga 14 Februari ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an telah ditahan sekitar 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek iaitu pengarah NGO dan penolong pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2025.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah memperdaya orang awam untuk menyalurkan sumbangan kebajikan dan bantuan kemanusiaan melalui NGO itu sedangkan sumbangan yang diterima tidak disalurkan kepada penerima,” katanya.
Susulan itu, kata sumber, SPRM telah membekukan sebanyak 13 akaun persendirian termasuk akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM2 juta.
Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















