JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mempersoalkan manfaat pelaburan pusat data di negeri ini yang didakwa boleh menjejaskan sumber bekalan air, menyediakan peluang pekerjaan terhad dan hasil cukai tidak setimpal dengan skala pelaburan.
Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, walaupun Johor kini menempatkan hampir 80 peratus kapasiti pusat data Malaysia dan diuar-uar sebagai projek mega namun realitinya tidak begitu memberi impak kepada rakyat.
“Di sebalik angka pelaburan yang diuar-uarkan, realiti menunjukkan bahawa kesan langsung kepada rakyat adalah jauh lebih kecil daripada yang digambarkan.
“Sehingga kini, daripada 42 projek pusat data yang diluluskan di Johor, hanya 13 pusat data iaitu sekitar 30 peratus yang benar-benar siap dan beroperasi sepenuhnya. Baki projek masih dalam pembinaan atau sekadar diluluskan di atas kertas.
“Walaupun pelaburan ini sering dipromosikan sebagai pemacu ekonomi baharu, hakikatnya peluang pekerjaan yang diwujudkan adalah terhad. Semasa fasa pembinaan, memang wujud sehingga ribuan peluang kerja, tetapi kebanyakannya bersifat sementara dan melibatkan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, selepas pusat data mula beroperasi, bilangan pekerjaan tetap adalah kecil kerana tahap automasi yang tinggi.
Jelasnya, satu pusat data biasanya hanya menggaji sekitar 20 hingga 50 pekerja terdiri daripada jurutera bidang teknologi maklumat (IT), juruteknik fasiliti, pasukan penyelenggaraan, keselamatan, dan sokongan operasi.
Majoriti jawatan teknikal dan penyelenggaraan katanya, menawarkan gaji sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan manakala hanya segelintir jurutera pakar menikmati gaji premium antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.
Dakwanya, perkembangan itu jelas menunjukkan bahawa manfaat pekerjaan kepada rakyat tempatan adalah minimum berbanding skala pelaburan yang besar.
Lebih membimbangkan katanya, pusat data menggunakan jumlah air yang sangat tinggi kini mencecah 18 juta liter sehari dan dijangka meningkat seiring dengan pertambahan projek baharu.
“Walaupun pusat data Tier 1 dan Tier 2 telah diharamkan kerana penggunaan air yang melampau, pusat data Tier 3 dan Tier 4 tetap memberi tekanan besar kepada sumber air negeri,” katanya.
Zainuddin berkata, tambahan pula, banyak pelabur asing menikmati insentif cukai yang mengurangkan manfaat sebenar kepada rakyat Johor.
Lebih kritikal ujar beliau, kebanyakan pembayaran untuk perkhidmatan pusat data dilakukan di luar negara kerana kontrak ditandatangani dengan syarikat induk global.
“Akibatnya, hasil jualan utama tidak direkodkan di Malaysia. Kerajaan hanya boleh mengutip cukai daripada operasi tempatan seperti cukai tanah, caj utiliti, dan keuntungan kecil subsidiari yang berdaftar di Malaysia.
“Ini bermakna hasil cukai sebenar kepada negara mungkin jauh lebih rendah daripada angka pelaburan yang diumumkan,” katanya.
Kebimbangan itu katanya, dizahirkan secara terbuka oleh rakyat Johor sendiri apabila minggu lalu penduduk turun ke jalan raya mengadakan demonstrasi membantah pusat data berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana isu pencemaran, kesihatan dan kekurangan air.
Demonstrasi tersebut adalah bukti jelas bahawa masyarakat semakin sedar dan berani bersuara terhadap projek mega yang tidak telus dan lebih menguntungkan pelabur berbanding rakyat tempatan, katanya.
Pejuang Johor menegaskan bahawa dalam keadaan kekurangan air, bekalan untuk rakyat mesti diutamakan berbanding keperluan industri.
“Kerajaan perlu berlaku jujur dan telus dengan rakyat mengenai kelebihan dan kelemahan sebenar pelaburan ini, bukan sekadar menguar-uarkan angka pelaburan yang besar,” katanya .
Tambahnya, pusat data mesti dipantau dengan ketat dan diwajibkan menggunakan sistem penyejukan yang cekap air demi kelestarian jangka panjang.
Katanya lagi, insentif cukai pula tidak boleh menafikan manfaat kepada rakyat dan Johor mesti menerima pulangan sebenar, bukan sekadar janji.
Lebih penting katanya, kerajaan mesti telus menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil semasa musim kemarau.
“Adakah pusat data akan diarahkan mengurangkan operasi, menukar sistem penyejukan atau bahkan ditutup sementara untuk memastikan bekalan air rakyat tidak terganggu,” soalnya.
Beliau menegaskan, rakyat berhak tahu jawapan yang jelas kerana isu berkenaan menyentuh keperluan asas kehidupan.
“Kesimpulannya, Pejuang Johor menyeru agar kerajaan berterus terang kepada rakyat Johor, pusat data membawa infrastruktur digital dan sedikit pekerjaan berkemahiran tinggi, tetapi ia tidak mencipta peluang pekerjaan besar-besaran dan menimbulkan risiko besar kepada sumber air serta kesejahteraan rakyat.
“Lebih penting, rakyat mesti tahu bahawa hasil cukai sebenar kepada negara adalah terhad kerana kebanyakan pembayaran dilakukan di luar negara,” katanya .
Tambahnya, rakyat tidak boleh sekadar menjadi penonton kepada projek mega yang lebih menguntungkan pelabur asing berbanding masyarakat tempatan.- MalaysiaGazette
















