KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mereman dua anggota Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri itu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 sebagai balasan menyelesaikan kes narkotik.
Perintah reman selama empat hari bermula 10 sehingga 13 Februari 2026 terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, pagi semalam.
Menurut sumber, kedua-dua suspek wanita berusia antara lingkungan 30 dan 40-an telah ditahan antara jam 2 hingga 5 petang Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai kira-kira RM2,000 daripada seorang individu bagi menyelesaikan kes positif dadah saringan ujian air kencing,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette
















