KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin (LD) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bersidang semalam memutuskan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat keahlian parti itu serta-merta.
Ia berdasarkan notis pemecatan oleh Pengerusi LD Bersatu, Datuk Mohd. Radzi Manan hari ini yang dilihat MalaysiaGazette.
Berdasarkan notis itu, LD Bersatu memutuskan bahawa Hamzah dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa mulai tarikh surat itu dikeluarkan (hari ini) kerana tindakan beliau yang melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu.
“Sila ambil perhatian bahawa notis ini berkuat kuasa serta-merta.
“Walaubagaimanapun pihak Dato’ Seri boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” demikian menurut notis berkenaan.
Sebelum ini, Hamzah dilaporkan dipanggil menghadap LD Bersatu berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu serta desakan supaya Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.
Hamzah sepatutnya memberi keterangan kepada LD Bersatu pada pukul 12 tengah hari semalam di ibu pejabat parti itu di sini, namun beliau tidak hadir kerana dilaporkan berada di luar negara.
Antara aduan yang dikemukakan terhadap Hamzah termasuk gagal menghalang beberapa pemimpin dan ahli parti daripada mengeluarkan kenyataan menyerang Muhyiddin serta mencemarkan imej Bersatu.
Selain itu, Hamzah juga didakwa gagal menghalang rundingan dengan presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) tanpa mandat parti termasuk perbincangan berkaitan Majlis Eksekutif PN yang sudah ditolak Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu. – MalaysiaGazette















