KUALA LUMPUR – Penyanyi, Hafiz Suip sah kembali bergelar suami kepada pilihan hatinya yang dikenali sebagai Fiona Saffiyya di Kuching, Sarawak, hari ini.
Majlis pernikahan mereka diadakan di sebuah dewan di Petrajaya yang turut disiarkan siaran langsung di halaman Facebook milik penyanyi itu petang ini.
Pada majlis tertutup itu, Hafiz nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM120.
Sebelum itu dalam temu bual dengan sebuah stesen radio, Hafiz dilapor mengesahkan bakal menamatkan zaman solonya, petang ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi.,, Itu suatu rezeki bagi saya. Hendak kata cemas, iya, tetapi kita perlu ‘move on’, kuatkan hati untuk masa hadapan dan orang yang tersayang,” katanya.
Untuk info, penyanyi lagu Awan Nano itu sebelum ini pernah berkahwin dengan Nureffy Jasreel pada 2016 dan sah bercerai pada Mei tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 9, dan Muhammad Alkaf Zayne, 6. – MalaysiaGazette
















