KUALA LUMPUR – Satu sindiket pemalsuan pasport warga Bangladesh berjaya ditumpaskan dengan penahanan seorang lelaki berusia 27 tahun serta rampasan 22 naskhah pasport negara itu yang disyaki palsu dalam Operasi Khas di dua lokasi sekitar Sentul, awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Lokman Effendi Ramli berkata, operasi yang dijalankan menerusi Bahagian Perisikan dan Operasi Khas itu bermula pukul 6 pagi hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.
Katanya, suspek merupakan warganegara Bangladesh dan semakan awal mendapati dia memiliki Pas Pelajar yang masih sah laku.
“Dalam serbuan tersebut, pasukan operasi turut menyita pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pemalsuan termasuk kad akses, satu set komputer, mesin pencetak, mesin pemotong, mesin engrave laser dan mesin pemotong ‘curve’.
“Sebuah motosikal jenis Benelli Leoncino yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lago, siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan menawarkan perkhidmatan kepada warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang yang ingin menjalani saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing oleh FOMEMA tetapi gagal atau berstatus tidak layak (unfit).
Beliau berkata, pasport yang dipalsukan akan dipinda atau diubah suai mengikut keperluan bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan.
“Bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, sindiket menggunakan khidmat ‘runner’ untuk menghantar pasport palsu yang telah siap kepada pelanggan dengan pembayaran dibuat secara dalam talian.
“Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai telah menghasilkan antara 200 hingga 300 naskhah pasport palsu dalam tempoh sebulan dan menjalankan kegiatan tersebut sejak kira-kira enam bulan lalu,” ujarnya.
Suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Seorang lelaki warganegara Malaysia turut diberikan Notis untuk hadir bagi membantu siasatan.
Lokman menegaskan, pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara selaras dengan aspirasi kerajaan Madani. – MalaysiaGazette
















