KUALA LUMPUR – Sebanyak 89 kesan tikaman dan luka mempertahankan diri ditemui pada badan seorang wanita yang mati dibunuh suaminya di Jalan Daun Inai 4 Sunway SPK Damansara Kepong, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penemuan itu adalah hasil bedah siasat dilakukan oleh pihak forensik di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.
“Kita turut melakukan bedah siasat ke atas suami mangsa dan menemui sebanyak 10 tikaman. Bagaimanapun, mayat kedua-dua pasangan itu telah dituntut ahli keluarga pada hari sama.
“Polis juga akan menyerahkan kertas siasatan kes ini ke Timbalan Pendakwa Raya pada 16 Februari ini,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Op Selamat 25 Sempena Tahun Baru Cina 2026 Kontinjen Kuala Lumpur, di sebuah pusat beli- belah di ibu negara.
Terdahulu media melaporkan, perselisihan faham antara suami isteri dipercayai menjadi punca seorang lelaki membunuh isterinya dengan 13 tikaman sebelum menamatkan riwayatnya sendiri di Kepong, semalam.
Mayat pasangan warga tempatan itu ditemui terbaring di lantai dalam bilik dengan keadaan berlumuran darah sebelum dimaklumkan kepada pihak polis jam 11.43 pagi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari dilaporkan berkata, pemeriksaan di lokasi menemui seorang lelaki 54 tahun dengan kesan tikaman di leher.
Tambahnya, wanita berusia 52 tahun itu ditemui dengan kesan kecederaan 13 tikaman iaitu 10 di leher, satu di tangan kiri dan dua di badan dan kes terbabit diklasifikasikan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















