Jegan melakukan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di Billion Shopping Centre (Kota Permai) Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengingatkan peniaga agar tidak menaikkan harga udang putih meskipun ia menjadi pilihan ramai menjelang Tahun Baharu Cina.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, ia susulan udang putih termasuk dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026.

Jelas beliau, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan berhubung penjualan udang putih melebihi kadar yang ditetapkan dalam SHMMP.

“Setiap peniaga wajib mematuhi harga yang ditetapkan dalam skim berkenaan tanpa mengira saiz udang putih bagi setiap satu kilogram mengikut kadar yang telah ditentukan.

“Orang awam yang berdepan situasi itu boleh membuat aduan kepada KPDN untuk kita jalankan siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Pengguna juga dinasihatkan menggunakan aplikasi Price Catcher bagi membuat perbandingan harga barangan sebelum membeli sebagai langkah menjadi pengguna bijak,” katanya ketika diminta mengulas pengguna mendakwa harga udang putih terlalu mahal di pasar pada musim perayaan berbanding hari biasa.

Terdahulu, Jegan melakukan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 bermula hari ini hingga 21 Februari depan bagi memastikan 15 harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang musim perayaan di Billion Shopping Centre (Kota Permai) di sini, hari ini.

Jegan berkata, skim berkenaan bertujuan melindungi pengguna daripada kenaikan harga tidak munasabah selain memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

Katanya, tempoh pelaksanaan skim ini bersesuaian dengan keadaan semasa bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pengguna dan peniaga, di mana pengguna dapat menikmati harga berpatutan manakala peniaga tidak tertekan dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu lama.

“Seramai 137 Pegawai Penguat Kuasa dan 57 Pegawai Pemantau Harga KPDN negeri  ditugaskan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memantau harga barangan keperluan perayaan.

“Justeru kita berharap semua pihak mematuhi harga maksimum yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan kawalan harga.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast