Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, beliau sama sekali tidak akan membuat rayuan selepas dipecat keahlian daripada parti itu, semalam.

Namun demikian, menurut Hamzah, selaku pejuang bangsa beliau tidak akan berdiam diri melihat ketidakadilan berlaku dalam parti dan tetap memperjuangkannya bersama-sama rakan lain.

“Saya dipecat, saya tinggalkan parti ini dan tidak akan buat rayuan sama sekali. Perjuangan memerlukan pengorbanan dan saya lakukan semata-mata atas nama perjuangan.

“Saya tidak lagi diperlukan oleh parti, maka selamat tinggal. Deklarasi ini bukan untuk saya tapi untuk kamu yang belum lagi dipecat dan masih lagi berjuang bersama-sama parti.

“Saya minta maaf kepada sahabat-sahabat kerana saya tidak akan kembali. Saya tidak akan membuat rayuan terhadap apa yang mereka buat pada saya.

“Saya yakin perjuangan ikhlas yang akan menentukan masa depan bangsa dan negara, bukan presiden mahupun parti,” ujar beliau ketika berucap pada sesi taklimat halatuju dan reset politik bersama sebilangan ahli parlimen, ketua bahagian dan ahli dewan undangan negeri (ADUN), di sini hari ini.

Ketika ditanya pada sidang media selepas itu, Hamzah berkata, oleh kerana beliau tidak akan mengemukakan rayuan, tiada keperluan untuk membawa isu pemecatan itu ke mahkamah.

“Buat apa (failkan petisyen ke mahkamah) biarkanlah, itu keputusan parti. Muhyiddin yang punya dan dia beritahu semua orang, parti itu miliknya,” ujar Hamzah.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kelihatan menangis pada Taklimat Halatuju dan Reset Politik di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 FEBRUARI 2026.

Dalam ucapannya, Hamzah menyatakan, meskipun hilang keahlian dalam Bersatu, perjuangannya tidak akan putus kerana beliau masih lagi ahli Parlimen.

Ujarnya, rakyat mahukan seorang pemimpin mampu melihat permasalahan rakyat, bukan anak seorang `tok guru’ atau anak ulama.

“Hari ini saya beritahu, saya tidak akan menyokong penipu yang ada dalam parti selama ini. Saya minta maaf, saya tidak akan menyokong perkara yang tidak benar. Saya penentang nombor satu Presiden (Bersatu),” ujarnya.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemecatan Hamzah diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.

“(Pemecatan) berkuat kuasa 13 Februari 2026 (hari ini) kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu dalam satu notis yang dikeluarkan dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, memaklumkan lembaga yang bersidang semalam memutuskan pemecatan berkenaan.

“Notis ini berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun pihak Datuk Seri (Hamzah) boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis,” demikian menurut notis itu.

Hamzah dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya kerana berada di Sydney, Australia.

Hamzah berlepas ke Australia bagi menemani dan membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding Lembaga Disiplin Bersatu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast