Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander kemek dihempap sebatang pokok dekat Pangsapuri Baiduri, Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, Shah Alam, tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR – Dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang ditimpa sebatang pokok tumbang di Seksyen 7, Shah Alam, petang tadi dilaporkan dalam keadaan sedar walaupun mengalami kecederaan.

Menurut Facebook Naib Canselor UiTM, berdasarkan makluman awal dari Fakulti Kejuruteraan Kimia, jam 2.20 petang tadi mangsa Dr Nur Shahidah Ab Aziz dan Dr Shareena Fairuz Abdul Mana masih menerima rawatan dan dalam pemerhatian doktor di Zon Kritikal, Hospital Shah Alam.

”Sehubungan itu, mohon sama-sama kita mendoakan keselamatan, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan buat kedua-dua pensyarah tersebut.

Semoga Allah swt mudahkan semua urusan, direzkikan keselamatan, dan kesembuhan, amin,” katanya.

Kedua-dua pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam itu cedera selepas kenderaan yang dinaiki ditimpa sebatang pokok tumbang di hadapan Apartment Baiduri, Seksyen 7.

Terdahulu, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu kira-kira pukul 12.11 tengah hari.

Menurut beliau, setibanya di lokasi, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Al Mujid Ali Baba mendapati terdapat sebatang pokok telah tumbang dan menghempap sebuah kereta MPV Mitsubishi Xpander.

Ahmad Mukhlis berkata, pihak bomba menemukan dua mangsa tersepit dan berjaya menyelamat dan mengeluarkan mangsa daripada kenderaan terbabit kira-kira 1.15 tengah hari.

Seorang mangsa berusia 38 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala manakala seorang wanita lagi berumur 41 tahun cedera di bahagian pinggang.

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast