Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Yang diPertaun Agong, Sultan Ibrahim menegaskan, tiada kompromi terhadap sebarang bentuk rasuah dan memberi amaran bahawa lebih ramai pihak kini berada dalam radar pemerhatian baginda.

Baginda menyifatkan rasuah sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat serta menegaskan perbuatan itu sama sekali tidak boleh diterima dalam pentadbiran negara.

“Usaha membanteras rasuah tidak terhad kepada jabatan tertentu atau hanya melibatkan pemberi dan penerima semata-mata,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan beberapa agensi penguatkuasa supaya sentiasa berwaspada termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut baginda, tindakan tegas juga tidak terkecuali melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tidak kira apa jua pangkat anda. Begitu juga ejen-ejen yang menjadi orang tengah serta pembekal pelbagai peralatan, pakaian dan perubatan, anda juga dalam radar,” titah baginda lagi.

Kenyataan tersebut hadir ketika isu rasuah kembali menjadi perhatian umum termasuk membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Sebelum ini, beliau menafikan sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa serta menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh kepada mana-mana pihak yang menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menegaskan, baginda mempunyai maklumat dan risikan sendiri berhubung kegiatan rasuah yang berlaku.

“Bak kata pepatah siapa makan cili, dia terasa pedas. Jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa. Saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah baginda.

Baginda turut menekankan usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik semata-mata kerana tiada sesiapa yang kebal daripada tindakan undang-undang.

“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan supaya pertukaran pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti dilaksanakan tanpa berlengah demi memastikan pentadbiran negara kekal telus dan berwibawa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast