KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperketatkan kawalan terhadap pengimportan, penjualan, penyimpanan dan permainan mercun serta bunga api bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat terpelihara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pengawalan tersebut selaras dengan peruntukan Akta Bahan Letupan 1957, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Menurut beliau, mercun dikategorikan sebagai bahan letupan di bawah Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957 kerana mengandungi komponen yang boleh menghasilkan letupan, bunyi kuat, cahaya, asap atau gabungan kesan visual dan bunyi.
Berdasarkan Pemberitahuan Larangan Bahan Letupan 2025, sebanyak 45 jenis bunga api termasuk jenis “pop-pop” dan “happy boom” dibenarkan untuk pemilikan serta pengimportan.
Namun, katanya, kebenaran tersebut tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh ketua polis daerah berkaitan serta pematuhan kepada spesifikasi dan syarat yang ditetapkan.
“Pendekatan pengawalan ini diambil bagi mengelakkan risiko kecederaan, kebakaran dan gangguan komuniti yang sering dikaitkan dengan pembakaran mercun secara tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang melanggar peruntukan undang-undang, antaranya di bawah Seksyen 6, 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak lebih satu bulan atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, Mohd Khalid menasihatkan orang ramai supaya bermain bunga api di kawasan lapang, mematuhi langkah keselamatan dan sentiasa berwaspada agar tidak mengganggu ketenteraman awam atau menimbulkan kegusaran penduduk setempat.
Beliau turut menyeru masyarakat agar mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang bagi memastikan perayaan Tahun Baharu Cina disambut secara harmoni dan selamat. – MalaysiaGazette
















