Seorang kanak-kanak yang hilang dibawa arus semasa mandi di pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil, di Kota Tinggi semalam, ditemui mayatnya malam tadi.

KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak yang hilang dibawa arus semasa mandi di pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil di sini semalam ditemui mayatnya malam tadi.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, mangsa, Putra Aniq Fairuz Mohd Faizul, 11, ditemukan terdampar di pesisir pantai pada pukul 10.26 malam.

“Mangsa berkenaan kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kecemasan pada pukul 1.30 tengah hari memaklumkan tiga kanak-kanak dipercayai lemas ketika mandi di pantai berkenaan.

Dua daripada mangsa merupakan adik beradik manakala Putra Aniq Fairuz merupakan sepupu mereka.

Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar, 16, dan adiknya, Arman Hanif, 11, diselamatkan nelayan dan pengunjung yang kebetulan berada di kawasan berdekatan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, mereka berkunjung ke pantai tersebut bersama-sama ahli keluarga yang lain.

“Semasa kejadian, tiga-tiga mangsa sedang mandi sebelum dihanyutkan arus air laut yang deras, dua daripada mereka iaitu adik beradik berusia 11 dan 16 tahun berjaya diselamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Najib menasihatkan masyarakat supaya tidak mandi atau menjalankan sebarang aktiviti air sekiranya cuaca buruk, ombak kuat atau arus deras.

“Risiko kejadian lemas meningkat secara mendadak ketika keadaan laut bergelora, lebih-lebih lagi tanpa pengawasan dan peralatan keselamatan yang mencukupi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast