Gambar lokasi kejadian dan bunga api yang digunakan oleh mangsa.

SEGAMAT – Seorang lelaki cedera parah sehingga putus kaki kiri akibat letupan bunga api di hadapan rumahnya di Taman Damai Jaya, Bukit Siput di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa yang berusia 30-an bermain bunga api itu pada jam 12.30 tengah malam.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai bermain bunga api jenis shoot cake 4(D) 16 shot (premium) di hadapan rumahnya sempena Tahun Baharu Cina.

“Bunga api tersebut meletup dan mangsa cedera parah sehingga kudung kaki kiri. Mangsa kemudian dikejarkan ke Zon Merah Hospital Segamat untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pegawai perubatan mengesahkan mangsa putus kaki kiri bawah lutut dan kini dalam keadaan stabil.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Jelas beliau, hukuman itu bagi kesalahan menyebabkan letupan yang membahayakan nyawa dan memiliki bahan letupan.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar bermain bunga api yang dibenarkan di kawasan lapang di samping mengamalkan langkah-langkah keselamatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast