KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri baharu Bangladesh, Tarique Rahman, susulan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Parlimen ke-13 negara itu.

Menurut Anwar, perbualan tersebut memberi ruang untuk beliau menyampaikan ucapan tahniah atas mandat besar yang diterima kepimpinan baharu Bangladesh daripada rakyatnya.

“Berkesempatan berhubung menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Bangladesh yang baharu, Tarique Rahman bagi menyampaikan ucapan tahniah atas mandat besar yang diperoleh dalam Pilihan Raya Parlimen ke-13 baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.

Anwar turut menzahirkan penghormatan terhadap kematangan rakyat Bangladesh dalam memastikan proses demokrasi berjalan secara aman dan teratur.

Beliau menegaskan Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama dengan kepimpinan baharu negara Asia Selatan itu dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

“Malaysia menantikan kerjasama erat dengan kepimpinan baharu Bangladesh dalam memperkukuh serta mengangkat hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam perbualan sama, beliau turut mempelawa Tarique mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bagi membincangkan agenda kerjasama secara lebih mendalam.

“Saya juga mengambil kesempatan menjemput PM Tarique untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada masa yang sesuai,” katanya.

Anwar menyatakan keyakinan bahawa hubungan persahabatan antara kedua-dua negara akan terus berkembang demi manfaat bersama.

“Semoga hubungan persahabatan Malaysia dan Bangladesh terus diperkukuh demi manfaat bersama kedua-dua negara,” katanya.

Selasa lalu, Tarique Rahman mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu Bangladesh, dalam apa yang dianggap sebagai era baharu demokrasi dan harapan buat negara dengan 175 juta penduduk itu.

Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden, Mohammed Shahabuddin di parlimen kebangsaan Jatiya Sangsad di Dhaka, dalam satu upacara yang disiarkan secara langsung.

Terdahulu, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) memilih Tarique, anak kepada bekas Perdana Menteri, Begum Khaleda Zia dan bekas Presiden, Ziaur Rahman, sebagai ketua parti parlimennya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast